KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tindakan menghantar mesej berunsur penghinaan dan bersifat perkauman melalui aplikasi penghantaran makanan wajar dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Merujuk laporan berhubung insiden melibatkan seorang guru sekolah yang menerima mesej itu daripada seorang penghantar makanan, Aaron berkata tindakan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.
“Kementerian Perpaduan Negara memandang serius insiden ini kerana ia bukan sahaja mencemar nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat kita, malah menggugat keharmonian antara kaum.
“Pihak syarikat penghantaran makanan digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dan memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Tidak ada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian atau perkauman.
“Saya percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran masyarakat secara keseluruhan, namun kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang lebih inklusif, aman dan bersatu,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang guru sekolah membuat laporan polis mendakwa menerima mesej berbaur penghinaan daripada seorang penghantar makanan menerusi mesej dalam aplikasi penghantaran makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial