KUCHING, 22 April (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mencadangkan agar Malaysia meneliti kemungkinan untuk menggubal undang-undang baharu, bagi menangani penyebaran fitnah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) selaras dengan langkah proaktif yang telah diambil oleh Singapura baru-baru ini.
Beliau berkata langkah itu penting dalam usaha membendung serangan-serangan siber, khususnya sebarang bentuk fitnah luar biasa yang disifatkan tidak membantu sesiapa, malah hanya memberi kepuasan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya sedang lihat kalau perlu kita perkenalkan undang-undang ini di Malaysia, kita harus benarkan, ini akan menyekat serangan yang bertalu-talu fitnah yang luar biasa yang akhirnya tidak membantu sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN di bawah Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (WAIPA), sempena Perhimpunan Agung ke-45 AIPA di sini, hari ini
Dalam perkembangan lain, Johari berkata isu penyertaan wanita dalam politik antara fokus yang menjadi perhatian dalam mesyuarat WAIPA, selain mengenal pasti apakah halangan utama menyebakan wanita untuk tidak mahu menceburi bidang politik.
“Kekurangan penyertaan wanita dalam politik bukan semata-mata disebabkan oleh gangguan media sosial, tetapi juga kerana beban tanggungjawab yang lebih besar.
“Contohnya, seorang wanita yang memegang jawatan tinggi seperti pengurus bank dan pada masa yang sama merupakan seorang isteri serta ibu, perlu mengimbangi ketiga-tiga peranan tersebut apabila terlibat dalam politik,” katanya.
Tambah Johari, tekanan tersebut jauh lebih berat berbanding golongan lelaki, yang lazimnya mendapat sokongan daripada pasangan, justeru dasar dan undang-undang negara perlu mengambil kira realiti tersebut.
“Sudah tiba masanya dasar dan perundangan negara direka bentuk dengan mengambil kira beban berganda yang ditanggung oleh wanita, termasuk menyediakan sokongan struktur dan sistem yang lebih mesra gender dalam arena politik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial