MELAKA, 23 April (Bernama) -- Sebanyak 136 taman asuhan kanak-kanak (taska) di Melaka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Disember lepas, dipasang Plak Taska Berdaftar di premis berkenaan secara berperingkat bermula bulan ini.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata pemasangan plak yang dilaksanakan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bertujuan memudahkan ibu bapa mengenal pasti taska berdaftar sebelum menghantar anak mereka.
Beliau berkata pemasangan melibatkan 100 taska di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (16) serta Jasin (20).
"Inisiatif ini bagi mengelakkan ibu bapa salah pilihan menghantar anak mereka di taska yang tidak berdaftar, sekali gus boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan kepada mereka selain mengekang kejadian penderaan.
"Pemasangan plak itu akan dilaksanakan secara berperingkat hingga akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pemasangan Plak Taska Berdaftar di Taska Bijak Cemerlang Ceria di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhammad.
Kalsom berkata setiap plak dilengkapi dengan kod respons pantas (QR) dan ibu bapa atau orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan taska berkenaan dengan hanya mengimbas kod terbabit.
Beliau turut menggesa pengusaha taska yang masih belum berdaftar supaya segera melakukannya bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Kalsom berkata JKM negeri telah melaksanakan 17 tindakan penguatkuasaan terhadap pusat jagaan dan taska tidak berdaftar di Melaka sepanjang tempoh 15 bulan bermula Januari tahun lepas.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan dan kompaun itu melibatkan kesalahan antaranya tidak berdaftar, pengasuh tidak menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) dan taska tiada kamera litar tertutup mencukupi.
"Dalam tempoh sama juga, kita mengambil 25 tindakan penguatkuasaan terhadap pusat jagaan dan taska berdaftar termasuk pembatalan pendaftaran, arahan bertulis dan penutupan premis melibatkan pelbagai pelanggaran prosedur operasi yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial