SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan seramai 166 keluarga asnaf dikenal pasti berada dalam kariah Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata bagaimanapun pihaknya masih mengenal pasti jumlah sebenar asnaf yang turut terkesan dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
“Setakat ini kita tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan berkenaan. Kita akan tunggu pihak berwajib mengeluarkan data, termasuk data mengenai berapa (asnaf) yang terjejas dan terlibat.
“Sebaik sahaja data itu diperoleh kita akan salurkan bantuan,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kutipan dan agihan LZS 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata LZS telah menyalurkan bantuan awal seminggu selepas kejadian kepada hampir 300 keluarga Muslim di kawasan berkenaan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga.
Insiden kebakaran paip gas pada 1 April itu, mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial