GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Pulau Pinang merancang untuk membangunkan semula tiga perkampungan setinggan di Seberang Perai dekat sini menjadi kawasan perumahan moden pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata menerusi pembangunan semula itu, penduduk di kawasan tiga kampung berkenaan akan mendapat rumah percuma yang lebih selesa dan luas berbanding sekarang.
“Tiga kampung itu ialah Kampung Manis yang terdapat hampir 300 rumah, Kampung Main Road (128 rumah) di Perai serta Kampung Ujung Batu, Bagan Dalam (357 rumah). Setakat ini, kesemua penduduk di kawasan itu bersetuju dengan projek pembangunan semula yang kita rancang.
“Kebanyakan rumah itu dibina setinggan di kawasan berkenaan sejak puluhan tahun, contohnya Kampung Manis lebih 70 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di sini malam tadi.
Beliau berkata perancangan itu juga antara misi Pulau Pinang ke arah zero setinggan selain memberikan perumahan yang lebih selesa kepada penduduk terlibat.
Sundarajoo berkata kos keseluruhan bagi tiga projek itu masih belum dimuktamadkan dan sekarang ini pihaknya mengeluarkan Permohonan Cadangan bagi pembangunan semula yang melibatkan projek perumahan bercampur-campur berkenaan.
Beliau berkata mengikut perancangan, tiga projek itu akan bermula dengan pembinaan penempatan semula kepada penduduk asal sebelum diteruskan dengan projek perumahan termasuk Rumah Mampu Milik Mutiara dan rumah kedai.
“Kita harap pecah tanah sekurang-kurangnya dua daripada tiga projek itu dapat dibuat dalam tahun ini, Kampung Manis berkeluasan 36.7 ekar dan Kampung Ujung Batu (15 ekar) akan dibuat terlebih dahulu dan dijenamakan sebagai Rumah Mutiara MADANI,” katanya.
Sementara itu, Sundarajoo memaklumkan sehingga 20 April lepas, pihaknya membekalkan 166,607 unit rumah atau 75.73 peratus berbanding sasaran pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang 2030.
Bagi pembekalan 22,000 unit rumah sewa beli, beliau berkata 5,096 unit atau 23.16 peratus telah direalisasikan dan LPNPP juga mengenal pasti 6,814 unit di bawah enam projek perintis Pembaharuan Semula Bandar, sekali gus melepasi sasaran awal iaitu 3,000 keluarga mendapat faedah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial