AM > BERITA

Kemajuan Projek Penempatan Semula Selirik Capai 53.55 Peratus - Nanta

08/04/2025 08:17 PM

KAPIT, 8 April (Bernama) -- Projek Skim Penempatan Semula Selirik di Kapit yang bertujuan menempatkan semula penduduk setinggan serta berpendapatan rendah kini mencatatkan kemajuan fizikal 53.55 peratus, melepasi jadual asal sebanyak 1.87 peratus.

Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau berpuas hati terhadap pencapaian itu dan optimis projek berkenaan akan memberi manfaat besar kepada penduduk apabila siap sepenuhnya kelak.

“Saya amat gembira dan bangga dengan kemajuan projek Skim Penempatan Semula Selirik di Kapit yang saya lawati dalam tinjauan ke kawasan semalam.

“Apabila siap, skim ini akan menyediakan persekitaran dan kediaman yang lebih kondusif serta kemudahan infrastruktur lengkap seperti bekalan elektrik, air, dan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih terancang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebook hari ini.

Fasa pertama projek bernilai lebih RM17 juta itu melibatkan pembinaan 50 lot individu daripada keseluruhan 130 lot yang dirancang dan dibangunkan di atas tanah seluas 24.7 hektar, merangkumi pembinaan lot kediaman, jalan masuk, sistem perparitan serta sistem bekalan air terawat.

Turut hadir dalam lawatan tapak itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang serta pegawai daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan