KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pelaksanaan semua projek termasuk status “projek sakit” perlu dipantau, supaya ia dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan hatta mencapai prestasi yang membanggakan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau menyatakan perkara itu ketika menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Baharu hari ini.
“Saya singgung kepentingan memperhebat dan melicinkan lagi projek rakyat yang menjadi keutamaan, khususnya untuk impak pembangunan ekonomi dan kemajuan bersama-sama.
“Perbincangan terarah kepada faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menyegerakan projek seperti rancangan tebatan banjir, supaya tidak membebankan rakyat sehingga melibatkan penambahan kos serta kerugian kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mesyuarat turut disertai Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan negeri. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar juga berharap semoga kepedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Kelantan terus menjadi keutamaan dan diuruskan sebaiknya.
Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri kemudian menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial