KOTA SAMARAHAN, 20 April (Bernama) -- Reka bentuk bagi pembangunan projek pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang di sini kini berada di peringkat akhir, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata projek mega di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa taklimat pembangunan negeri yang berlangsung di Wisma Bapa semalam.
“Semalam saya telah menunjukkan kepada Perdana Menteri pelan induk (reka bentuk) platform pelabuhan laut dalam tersebut… mungkin tidak banyak penambahbaikan diperlukan kerana ia sudah hampir menjadi pelan muktamad.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang bersetuju dengan cadangan kita untuk membangunkan SGR, yang dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak terbuka menerima suntikan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek berkenaan, meskipun Kerajaan Negeri mempunyai peruntukan dan perancangan sendiri dengan kerjasama pihak swasta.
Abang Johari berkata semasa taklimat berkenaan, Kerajaan Persekutuan turut menyatakan persetujuan untuk memberikan insentif kepada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri membangunkan infrastruktur.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam hantaran di Facebooknya berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyokong perancangan Sarawak dalam melaksanakan SGR, yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Menurutnya, pelaksanaan pelan berimpak tinggi tersebut dijangka mampu menarik pelaburan bernilai sehingga RM300 bilion serta mewujudkan lebih 180,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial