AM > BERITA

Fokus Kukuh Ekonomi, Usah Terlalu Gusar Soal Tarif - Abang Jo 

19/04/2025 03:36 PM

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Malaysia harus terus memberi fokus dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara dan jangan terlalu gusar dengan tekanan tarif oleh negara tertentu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keutamaan Malaysia juga harus tertumpu dalam mempertahankan kestabilan politik negara.

“Politik negara kini dalam keadaan stabil, pimpinan negara kita telah membawa negara ke satu tahap yang tinggi di mata dunia.

“Ekonomi kita juga telah berkembang walaupun ada negara yang mahu melaksanakan tarif tertentu. Tidak apa tarif kita ketepikan, apa yang penting adalah keutuhan ekonomi negara,” katanya semasa berucap pada  majlis sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat Sarawak di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Pada 3 April, Presiden Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif minimum 10 peratus ke atas import dari semua negara di bawah dasar perdagangan timbal balik dan tarifnya. 

Lebih 10,000 pengunjung hadir pada majlis anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri itu.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan