AM > BERITA

Pasangan Panda Gergasi Fu Wa, Feng Yi Dihantar Pulang Ke China Bulan Depan - NRES

19/04/2025 02:01 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara sejak 2014 akan dihantar pulang ke China pada Mei ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan perjanjian yang membolehkan Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu bagi tempoh 10 tahun bermula tahun ini hingga 2035.

Perjanjian itu dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China pada Rabu lepas, sempena lawatan Presiden Xi Jinping ke negara ini.

“Sebagai persediaan Fu Wa dan Feng Yi akan menjalani proses kuarantin bermula semalam, untuk memastikan kesihatannya pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit mengikut perundangan antarabangsa serta latihan sangkar bagi membiasakan diri untuk penerbangan pulang,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh kuarantin di PKGP, pengunjung tidak boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat, tetapi masih berpeluang melihat mereka dari pusat pembelajaran PKGP pada masa tertentu.

NRES memaklumkan Zoo Negara telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin bagi memberi peluang rakyat Malaysia meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014.

Ini termasuk menyediakan papan ucapan perpisahan, sesi bersama penjaga Giant Panda, tayangan dokumentari dan pertandingan menulis serta melukis, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web serta platform media sosial Zoo Negara.

NRES memaklumkan sebelum ini tiga anak pasangan panda itu telah dihantar pulang ke China, dengan Nuan Nuan dihantar pada 14 Nov 2017 manakala Yi Yi serta Sheng Yi pada 29 Ogos 2023.

NRES dalam kenyataan sama memaklumkan Zoo Negara akan menambah baik fasiliti dan pameran di PKGP sepanjang tempoh ketiadaan haiwan berkenaan sebagai persediaan menerima pasangan baharu panda yang dijadualkan pada Ogos.

“Kerjasama ‘Giant Panda’ merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China dalam memupuk diplomasi konservasi. Ia juga manifestasi nilai Malaysia MADANI iaitu kelestarian, ihsan dan kerjasama demi alam sekitar serta masa depan bersama yang lebih sejahtera,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan