PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Pembukaan pasaran kelapa segar ke China menerusi Protokol Keperluan Fitosanitari menandakan peningkatan kawalan biosekuriti di samping mewujudkan elemen kebolehkesanan yang lebih sistematik dalam pengeluaran kelapa muda berkualiti.
Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata Malaysia akan mengeksport kelapa muda bagi tujuan minuman segar dengan keutamaan diberikan kepada varieti kelapa wangi seperti kelapa pandan yang mempunyai aroma unik dan tahap kemanisan brix sekitar 6.7".
Beliau berkata Malaysia telah mengeksport kelapa muda ke China dengan hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa adanya protokol khusus sebelum ini.
"Penekanan kepada keperluan ladang berdaftar, Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) serta pematuhan kepada sistem kawalan perosak bersepadu akan memastikan hanya kelapa muda berkualiti tinggi dan selamat dieksport mengikut piawaian antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nor Sam berkata Jabatan Pertanian (DOA) menggalakkan lebih ramai pengusaha tempatan, khususnya yang mengusahakan kelapa wangi seperti varieti kelapa pandan untuk mengambil peluang dengan mendaftar ladang sumber yang dipersijilkan dengan myGAP dan fasiliti pemprosesan.
Pengeluaran kelapa negara mencecah 624,000 tan metrik pada 2023 dan daripada jumlah itu, sebanyak 6,000 tan metrik kelapa muda telah dieksport.
Beliau berkata kelapa tua pula diimport dalam jumlah besar melebihi 278,000 tan metrik bagi menampung keperluan khusus industri pemprosesan berasaskan kelapa seperti santan, kerisik, kelapa kering dan sebagainya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan industri kelapa bagi tujuan meningkatkan SSR kelapa negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Industri Kelapa dan RM6.25 juta untuk Projek Pengukuhan Benih Kelapa.
"Usaha ini bertujuan meningkatkan pengeluaran kelapa negara kepada 669,000 tan metrik menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata insentif turut disediakan kepada pengusaha kelapa, termasuk input pertanian seperti anak benih, baja dan racun perosak, selain sokongan infrastruktur asas ladang dan skop projek merangkumi penanaman baharu, penanaman semula, pemulihan pokok tua serta integrasi tanaman.
Selain bantuan fizikal, DOA turut melaksanakan pelbagai program latihan secara teori dan amali yang merangkumi teknik tanaman, amalan agronomi moden, serta pematuhan kepada keperluan eksport dan keselamatan makanan.
Pendekatan itu membolehkan pekebun kecil dan pengusaha ladang menyumbang kepada pengeluaran kelapa berkualiti yang menepati kehendak pasaran antarabangsa.
Tiga negeri utama pengeluar kelapa ialah Selangor, Johor dan Perak dengan 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).
"Dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara. Dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada kepada jumlah pengeluaran, membuktikan penyertaan mereka seta sokongan semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara," katanya.
Malaysia secara rasmi mendapat kelulusan mengeksport buah kelapa segar ke pasaran China menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 16 April lepas bersempena lawatan negara Presiden Xi Jinping.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial