AM > BERITA

Gambar Tular Ustaz Zen: Momen Tenang, Khusyuk Berdoa Di Sisi Jenazah Tun Abdullah

19/04/2025 10:52 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- “Saya memang berhajat ke Masjid Negara kerana saya tahu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi itu datangnya daripada keturunan ulama, belajar agama dan  pemimpin yang 'faqqih fiddin' (berpengetahuan mendalam mengenai agama Islam).”

Demikian kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad Zen atau lebih mesra dipanggil Ustaz Zen, 67, yang menjadi perhatian ramai selepas gambarnya menadah tangan khusyuk berdoa di sisi jenazah perdana menteri kelima itu di Masjid Negara baru-baru ini, tular di media sosial.

Allahyarham Tun Abdullah, 85, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam pada Isnin. Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.

Gambar yang merakamkan detik Ustaz Zen berdiri tenang dan berdoa berhampiran keranda yang dilitupi  Jalur Gemilang itu dirakamkan oleh jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Azlim Mansor.

Imej berkenaan menjadi antara yang paling ikonik dalam majlis penghormatan terakhir kepada Allahyarham, sehingga ramai warga siber menyifatkan momen itu menggambarkan kasih dan penghargaan rakyat biasa terhadap pemimpin berjiwa sederhana. 

Ustaz Zen berkata beliau sejak dahulu mengenali Tun Abdullah melalui bacaan biografinya yang berlatar belakang agama dan berketurunan keluarga ulama terkenal selain keperibadian Allahyarham yang sentiasa menjurus kepada Islam.

“Sepanjang hidup, saya tidak pernah bersalaman atau bertemu Pak Lah, tetapi saya sangat kagum dengan beliau. Saya melihat beliau sebagai seorang 'faqqih fiddin', sama seperti Khalifah Sulaiman Abdul Malik (zaman Kerajaan Umaiyah) dalam sejarah Islam.

“Sulaiman jika tidak menjadi khalifah (pemimpin) kepada Bani Umaiyah, mungkin beliau akan menjadi ulama besar. Begitu juga Pak Lah, jika tidak terlibat dalam politik, saya percaya beliau akan menjadi ulama dan mengajar agama seperti tok guru lain,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Flat Kelumpuk Serindit, AU3 Keramat di sini.

Beliau yang berasal dari Pulau Bawean, Jawa Timur, Indonesia, telah menetap di Malaysia lebih 30 tahun selepas berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Selain menjadi imam di Surau Al-Hidayah berdekatan flatnya, Ustaz Zen yang memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran dan mengadakan kelas agama.

Berkongsi mengenai gambar yang memaparkan dirinya berada di bahagian hadapan berhampiran keranda Allahyarham, Ustaz Zen mengakui tidak menyangka akan berada di situ.

“Perancangan asal saya mahu ke Masjid Negara pada awal pagi, tetapi ada kekangan. Saya tiba hampir waktu Zuhur, seorang diri menaiki Grab. Ketika itu, kawasan agak lengang. Saya berniat mahu ambil berkat orang soleh dan berdoa di sisi Allahyarham.

“Tiba-tiba saya sudah berada di kawasan hadapan VIP (orang kenamaan), saya pun tidak pasti bagaimana, dan tiada siapa yang menghalang. Saya mohon maaf sekiranya tindakan saya itu salah. Saya hanya baca al-Fatihah, tiga surah qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) dan berdoa,” katanya.

Sementara itu, jurugambar Bernama Muhammad Azlim berkata beliau berada di tingkat atas Masjid Negara ketika upacara penghormatan itu berlangsung, dan susuk lelaki berkopiah hitam, berbaju Melayu kuning cair serta berkain pelikat biru yang berdiri tenang berdoa menarik perhatiannya kerana satu-satunya individu berpakaian sedemikian di kawasan berkenaan.

“Saya nampak beliau seorang sahaja yang sampai ke depan keranda. Kawasan itu sepatutnya untuk VIP, tapi beliau macam tak disekat … mungkin petugas tak sedar. Tapi cara beliau berdiri dan berdoa itu sangat khusyuk, betul-betul terserlah dalam gambar,” katanya.

Muhammad Azlim yang telah lebih lima tahun bertugas di Bernama berkata beliau tidak menyangka gambar yang dirakamnya akan menjadi tular namun mengakui detik yang dirakam daripada lensa kameranya itu cukup kuat dari segi emosi dan simbolik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan