KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi malam tadi.
“Saya dan isteri merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah dan seluruh keluarga besar Allahyarham.
“Kita berterima kasih atas semua jasa Allahyarham kepada negara. Semoga roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," titah Seri Paduka Baginda yang dikongsikan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam.
Jenazah bekas Perdana Menteri itu akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara dan akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini hari ini.
Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara hingga 1 tengah hari ini.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008, menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial