AM > BERITA

Dialog Terbuka, Ikhlas Penting Demi Survival Negara - PM

15/04/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan kepentingan dialog secara terbuka dan ikhlas dalam memupuk persefahaman dan perasaan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban 2025, Anwar menyifatkan dialog sebagai komponen penting bagi survival dan perpaduan negara.

“Ia amat penting bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia… inilah cabaran yang perlu kita depani.

"Cabaran kepada guru, profesor serta universiti untuk mempromosikan perkara yang betul dan mampu menjamin keamanan serta keselamatan kita atau kita menjadi mangsa suara-suara sumbang yang mengakibatkan kemusnahan kepada negara ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan komitmen pentadbirannya untuk memperjuangkan dialog di peringkat nasional dan menegaskan bahawa langkah itu bukanlah strategi politik sebaliknya satu keperluan moral. 

“Ia bukan sekadar satu gimik politik. Saya tidak fikir saya mampu meraih lebih banyak undi hanya kerana saya berpendapat saya perlu menggalakkan dialog sebegini,” katanya.

Sementara itu, Anwar telah menugaskan pemikir, ahli falsafah dan aktivis Islam Profesor Datuk Dr Osman Bakar untuk melibatkan Ahli-Ahli Parlimen dalam perbincangan mengenai peradaban, pemahaman dan dialog antaraagama bagi mempromosi nilai-nilai toleransi, rasa hormat serta kewujudan bersama.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa kebanyakan Ahli Parlimen kurang menghargai atau memahami kepentingan dialog peradaban terutama dalam konteks kepelbagai agama dan bangsa seperti Malaysia. 

Perdana Menteri juga berkata usaha bagi menggalakkan dialog berhubung peradaban ke arah mempromosikan pemahaman dalam kalangan orang ramai kurang berjaya meskipun terdapat pelbagai inisiatif yang berterusan.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan