KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat jenazah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, di sini.
Solat jenazah yang dilaksanakan sejurus selesai solat zuhur itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Selain Anwar dan ahli keluarga Allahyarham, turut menyertai solat jenazah ialah barisan jemaah menteri antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Jenazah Tun Abdullah kemudiannya diusung keluar dari dewan solat utama Masjid Negara menggunakan keranda yang dilitupi Jalur Gemilang, oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan polis, untuk dibawa ke Makam Pahlawan dan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) ada 7.10 malam tadi.
IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial