Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
TAPAH, 14 April (Bernama) -- Zaman kanak-kanak Jas Mi Udzi dan Dr Mohamad Yusri Bakir dipenuhi dengan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan selepas membesar bersama-sama di Kampung Tersusun Haji Tahir di sini.
Kini, Jas Mi, 49, seorang penjual daging di Pasar Tani Pekan Tapah, manakala Mohamad Yusri, 54, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Jas Mi berkata kejadian Mohamad Yusri dirotan ayahnya kerana mandi sungai antara detik yang masih segar dalam memorinya.
“Beliau (Mohamad Yusri) dibesarkan dengan didikan yang mementingkan akhlak, ilmu dan disiplin dalam kehidupan seharian oleh ayahnya yang juga seorang guru agama.
“Dulu kami mandi sungai sama-sama. Kalau balik lambat memang kena rotan, tetapi saya percaya itu yang menjadikan beliau seperti hari ini, seorang yang hormat orang tua, menepati masa dan tahu tanggungjawab,” katanya ketika ditemui Bernama semasa Mohamad Yusri berkempen di pasar tani berkenaan.
Jas Mi berkata keperibadian calon BN itu menyerlah sejak kecil lagi, dengan sikap matang, suka membantu dan sentiasa menjaga hubungan baik bersama penduduk kampung.
Beliau berkata Mohamad Yusri yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh juga selalu bertanya khabar dengan rakan-rakan jika pulang ke kampung halaman.
Dalam pada itu, peniaga kerepek Aris Jaffar, 66, mengakui terkejut apabila mengetahui jiran di kampungnya dicalonkan bertanding pada PRK DUN Ayer Kuning.
“Memang terkejut juga bila tahu jiran saya jadi calon. Selama ini, saya hanya kenal dia sebagai jiran belakang rumah yang ramah dan mesra dengan penduduk.
“Dia ini orangnya baik, tak sombong dan mudah bergaul. Kalau tengok cara dia bergaul dengan orang kampung, memang nampak dia ada sifat kepimpinan yang baik,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial