AM > BERITA

STR ',"Talian Hayat" Untuk Golongan Muda

14/04/2025 02:07 PM

Oleh Muhammad Nabil Alma Azman

KUALA LUMPUR,14 April (BERNAMA) -- Golongan muda yang tersernarai sebagai antara penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyifatkan bantuan kewangan kerajaan itu ibarat ‘talian hayat’ untuk kelangsungan hidup, khususnya bagi mereka yang bekerja di kawasan bandar.

Ini termasuk mereka yang baru berkerja dengan gaji permulaan yang rendah.

Pekerja pembuat kopi (barista), Aiman Haqimi Zainal Abidin, 23, berkata bantuan STR yang diterimanya sejak bulan lepas membolehkan dia menambah wang simpanan bagi kegunaan pada waktu mendesak.

Berasal dari Selayang tetapi bekerja di Nilai, Negeri Sembilan, dia berkata kehidupan di bandar membuatkan golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan seperti dirinya perlu mengikat perut berikutan gaji masih kecil.

“Bantuan ini juga sangat membantu saya untuk tampung bayaran sewa bilik, bil elektrik, bil telefon dan duit minyak untuk pergi kerja,” katanya kepada Bernama.

Pada 24 Mac, kerajaan telah menyalurkan pembayaran STR Fasa Dua dengan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas, melibatkan hampir sembilan juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia yang mendapat bantuan hingga RM650.

Bagi golongan muda seperti Aiman Haqimi, ada antara mereka mendapat STR 2025 di bawah kategori bujang dan menerima sebanyak RM600 secara berfasa.

Turut senada pekerja kurier, Farhan Najwan Yusrin, 25, yang kali pertama menerima bantuan pada tahun ini dan memanfaatkannya dengan membayar tanggungan kecil seperti ansuran motosikal dan bil telefon.

“Kerja saya memang guna motosikal dan Internet, itu yang saya pentingkan untuk cari rezeki. Walaupun bagi orang lain bantuan ini mungkin nampak sikit tapi ia amat bermakna buat saya. Bantuan ini ibarat talian hayat buat yang berstatus bujang untuk merancang kewangan dan berjimat cermat,” katanya.

Sementara itu, dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Luqman Abdul Rahman, 25, dan Wan Aqmal Ariff Qhausar Wan Shaipulnizam, 23, masing-masing turut merasakan bantuan ini banyak membantu mereka mengharungi hidup sebagai mahasiswa.

“Kalau cakap tentang bantuan, kami sebagai pelajar lagilah amat memerlukan, bila dah masuk semester baru kami perlu beli buku untuk subjek baru dan kalau yang duduk rumah sewa itu komitmen tambahan kami.

“Perbelanjaan kami sebagai seorang pelajar amat banyak, jadi dengan bantuan (STR) ini dapatlah kami tarik nafas lega untuk mengharungi semester baru,” kata mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan