BACHOK, 12 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah, sama ada dalam kalangan pegawai kerajaan, mahu pun ahli politik.
Beliau berkata kerajaan komited untuk memerangi perbuatan menyalah guna peruntukan kerajaan demi kepentingan peribadi, termasuk manipulasi tender serta penyelewengan dana pembangunan.
"Saya isytihar perang dalam perkara ini. Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan kerajaan untuk salah guna tender dan ‘sakau’ untuk kekayaan diri mereka.
"...kerana kalau sistem ini tidak betul, dapat hasil negara banyak sekali pun, ia akan hilang jika masing-masing sibuk nak kayakan diri sendiri. Kalau mahu berniaga, silakan, tetapi jangan guna kedudukan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mengumpul kekayaan peribadi.
"Nak berniaga, berniaga betul-betul, tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tak izinkan. Ini bukan jawatan untuk jadi kaya, bukan Perdana Menteri mesti kaya,” katanya.
Mengulas dakwaan pilih kasih dalam pendakwaan, Anwar berkata proses keadilan dijalankan mengikut sistem perundangan negara.
"Walaupun ada yang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya. Yang menyiasat ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa ialah Peguam Negara, dan yang putuskan (hukuman) itu adalah mahkamah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial