KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Lebih 4,000 petugas termasuk sukarelawan dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mega pembersihan di kawasan terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini hari ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata operasi mega selama dua hari yang bermula hari ini, melibatkan 600 sukarelawan dan individu lain termasuk anggota pelbagai agensi kerajaan dan institusi lain.
“Sebahagian besar fokus kita ketika ini ialah di Kampung Kuala Sungai Baru, khususnya bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan awam dan kediaman penduduk yang terkesan. Sebelum ini, pembersihan di Putra Heights telah bermula lebih awal selepas kawasan itu mendapat kebenaran pihak polis untuk dimasuki,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.
Amirudin berkata sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera termasuk lori water jetter, lori tangki air, lori Roll-On Roll Off (RORO), jentera pengorek kaut, penyapu jalan, mesin pencincang kayu dan kren pengangkat digunakan dalam operasi yang dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata setakat ini, 307 kediaman telah dibenarkan untuk diduduki semula dan pihaknya menjangkakan lebih banyak rumah akan dapat diduduki dalam masa terdekat selepas proses pembersihan selesai.
“Minggu depan kita akan mula fokus kepada proses sewaan dan baik pulih kediaman yang terjejas, dengan komitmen yang telah diterima daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mengulas dakwaan berkenaan tumpuan pembersihan yang lebih banyak di kawasan Putera Harmoni berbanding Kampung Melayu, beliau menjelaskan pembersihan hanya dapat dimulakan di Kampung Kuala Sungai Baru selepas kebenaran diberikan pihak polis beberapa hari lepas.
“Struktur kediaman di kawasan itu juga tidak tersusun seperti di kawasan perumahan berstatus taman yang dibangunkan mengikut piawaian, jadi ia memerlukan usaha tambahan dan masa yang lebih panjang untuk dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan atas semangat kerjasama tinggi yang ditunjukkan sukarelawan, khususnya anak muda dari Selangor yang sanggup menyumbang tenaga meskipun semasa musim perayaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dalam taklimat keselamatan kepada sukarelawan mengingatkan semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi berlangsung.
Beliau memaklumkan seramai 100 pegawai dan anggota polis ditempatkan di kawasan sekitar bagi mengawal perimeter kejadian yang telah diisytihar sebagai zon bencana.
“Tiada sebarang laporan kehilangan harta benda setakat ini dan kami mahu mengekalkan rekod ini. Semua sukarelawan dilarang sama sekali memasuki kawasan Ground Zero atau rumah yang telah diisytihar tidak selamat tanpa kebenaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial