AM > BERITA

Sajian Berinspirasikan Limau Murcott Taichung Menambah Kemeriahan Perayaan

12/04/2025 09:50 AM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri terus dirasai dengan sentuhan sitrus menyegarkan menerusi limau tangerin Murcott Taichung dari Taiwan yang manis serta harum dan kini tersaji kepada masyarakat Malaysia.

Sempena musim perayaan ini, Persatuan Peladang Daerah Shigang dari bandar Taichung bekerjasama dengan Restoran Caterbest, sebuah restoran Cina halal terkenal di Ipoh, Perak untuk memperkenalkan siri sajian bermusim yang mengetengahkan buah Murcott Taichung.

Satu sidang media turut diadakan hari ini bagi menandakan debut atau pengenalan rasmi buah berkenaan di pasaran Malaysia.

Pengarah Jabatan Pemasaran Persatuan Peladang Daerah Shigang Fu Yu Chin berkata murcott merupakan antara buah ikonik Shigang yang digemari kerana isinya yang manis dan berjus, sesuai dinikmati oleh semua lapisan umur sepanjang tahun.

“Murcott dari Shigang menerima pensijilan Global G.A.P. (amalan pertanian baik yang diiktiraf antarabangsa) dan ISO 22000, yang menjamin kualiti premium serta keselamatan makanan, jadi pengguna Malaysia boleh menikmatinya tanpa sebarang keraguan,” katanya dalam kenyataan.

Antara tumpuan utama acara berkenaan adalah pengenalan menu ayam goreng istimewa yang diseduh dengan rasa Murcott Taichung dan diberi nama When Life Gives You Murcott. Menu ciptaan Restoran Caterbest ini menyajikan keharuman aroma dengan sedikit rasa kemasaman yang menyegarkan, pasti memikat selera pelanggan.

Hadir bagi meraikan kejayaan pemasaran buah premium Taiwan itu ke Malaysia ialah Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang, Pengarah Pusat Perdagangan Taiwan Kuala Lumpur Eva Peng dan Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Taiwan di Malaysia Tsai Hsin Tien.

Kenyataan itu turut memaklumkan penghantaran pertama Murcott Taichung tiba di Malaysia pada 3 Mac, dengan rancangan eksport seterusnya ke Singapura, Kanada dan beberapa negara lain. Kira-kira 150 tan metrik buah berkenaan dijangka dieksport pada tahun ini.

Majlis pelancaran itu tambah bermakna apabila pempengaruh makanan tempatan Jen Jen tampil bersama bapanya yang juga cef di Restoran Caterbest bagi berkongsi inspirasi di sebalik hidangan berasaskan murcott, memperlihatkan inovasi kulinari rentas budaya.

Restoran Caterbest yang berpengalaman lebih dua dekad dalam dunia kulinari pernah menyajikan banyak tokoh ternama termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh.

Taichung Murcott kini boleh didapati di rangkaian pasar raya utama di seluruh negara termasuk Harvest Impact, AEON, Jaya Grocer, TF Value-Mart, Star Grocer dan Wholefood Market.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan