IPOH, 11 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan baharu sebanyak RM1.37 juta bagi kerja-kerja penurapan jalan dan pemasangan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) di kawasan Medan Ipoh di sini, tahun ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan itu merupakan tambahan bagi kawasan tersebut selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya menyiapkan projek menaik taraf jalan Jalan Medan Ipoh 2, yang telah diluluskan dengan peruntukan RM700,000 tahun lepas.
Beliau berkata selepas projek fasa pertama siap terdapat tujuh jalan lagi yang perlu diturap membabitkan jalan sepanjang 3.125 kilometer yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 850,000 penduduk bandar raya ini.
“Medan Ipoh antara kawasan perniagaan utama dan kerap dikunjungi pelancong, jadi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (KPKT) meluluskan satu lagi peruntukan yang besar untuk penurapan semula baki tujuh jalan di sini.
“Kali terakhir penurapan semula di Medan Ipoh ialah lebih 15 tahun lepas membuatkan kawasan ini kurang mesra perniagaan. Oleh itu, kerajaan MADANI melalui KPKT meluluskan peruntukan RM1.37 juta lagi menjadikan jumlah penurapan jalan serta pemasangan lampu LED di Medan Ipoh mencecah RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan Medan Ipoh 2 di Jalan Medan Ipoh 6, Bandar Baru Medan Ipoh hari ini.
Antara jalan yang dinaik taraf adalah Jalan Medan Ipoh Service Road 2, Jalan Medan Ipoh 1, Jalan Medan Ipoh 11, Jalan Medan Ipoh 6 Service Road 2, Jalan Medan Ipoh 6, Jalan Medan Ipoh 6 Service Road 1 dan Lebuh Medan yang dijangka siap pada Julai ini.
Nga turut berkata susulan penurapan jalan berkenaan jumlah tempat letak kereta juga berjaya ditambah hingga 2,000 petak dan ia memberi kemudahan kepada rakyat seterusnya merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial