AM > BERITA

Wan Rosdy Dilantik Penasihat Khas MPUPK - PM Anwar

11/04/2025 11:22 PM

KUANTAN, 11 April (Bersama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsan (MPUPK).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan pelantikan itu berkata Wan Rosdy mempunyai prestasi membanggakan selain menyantuni rakyat dengan baik sebagai menteri besar.

“Beliau dapat bantu saya dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) menjelajah ke seluruh Malaysia menyantuni usahawan serta mencari kaedah untuk meningkatkan martabat perniagaan dan usahawan bumiputera.

“Beliau (Wan Rosdy) tidak pernah minta projek untuk diri sendiri, yang dibawa tadi dalam mesyuarat adalah berkaitan rakyat,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Pantai Batu Hitam, Beserah di sini malam ini.

Turut hadir, Ahmad Zahid, Wan Rosdy, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengenai tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini, Anwar berkata Malaysia tidak boleh bergantung kepada kuasa asing.

“Ada (negara) yang naik (tarif) hingga 50 peratus... nasib baik beliau (Trump) tangguhkan pelaksanaannya.

“Perpaduan kita harus kuat, kerja kita harus kuat, program kita harus baik, pelaburan mesti datang, pekerjaan anak-anak mesti terjamin,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata rakyat seharusnya bersyukur dan berbangga apabila dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang aman dan tidak kucar-kacir.

“Kita nak jadi negara Muslim yang baik, nak tolong Gaza, bagaimana nak tolong kalau kita miskin, papa kedana? Kita boleh tolong kalau kita ada keupayaan. 

“Sebab saya tahu Malaysia ini bersatu, saya tahu ekonomi kita mantap. Kalau negara kita hampir bankrap, tak boleh saya bercakap lagi. Sebab itu, saya nak guna kesempatan ini, (esok) di Kelantan pagi, petang di Pulau Pinang untuk menerangkan betul-betul,” katanya.

Anwar turut menafikan dakwaan bahawa Terengganu dianaktirikan dan menjelaskan negeri itu menerima dana jauh lebih tinggi berbanding semasa pentadbiran Perikatan Nasional. 

“Apa dia buat, dia hamun kita, sebaliknya kita bagi wang berkali ganda lebih daripada wang ihsan," katanya. 

Perdana Menteri turut meminta rakyat agar tidak terpukau dengan janji palsu yang dibuat oleh pihak pembangkang.

"Nilai dengan baik, apa yang kita hendak buat adalah selamatkan Malaysia dan Pahang," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan