AM > BERITA

Banjir: Lima Sekeluarga Berlindung Di Surau

11/04/2025 06:16 PM

KLANG, 11 April (Bernama) -- Sepasang suami isteri bersama tiga orang anak termasuk seorang bayi terpaksa berlindung di surau berdekatan selepas rumah mereka di Taman Meru Indah, di sini dinaiki air sekitar 3 pagi ekoran hujan lebat malam tadi.

Muhammad Ammar Abu Kassim, 32, berkata ketika kejadian beliau menghubungi Skuad Pantas Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Balai Polis Meru, untuk mendapatkan informasi berkenaan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Beliau berkata berikutan tiada PPS yang dibuka ketika itu, beliau bergegas membawa keluarganya ke surau berkenaan kira-kira 5.30 pagi, berikutan air sudah memenuhi keseluruhan rumah.

“Setelah bertahan lebih dua jam, saya tidak mahu mengambil risiko lalu bergegas mencari tempat berlindung kerana rumah sudah dimasuki air pada paras betis,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS  Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di sini hari ini.

Muhammad Ammar adalah antara 134 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat lewat malam tadi, yang juga menjejaskan beberapa kawasan setempat termasuk Jalan Cempaka, Jalan Kenangan, Jalan Teratai dan Taman Meru Indah.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, banjir kali ini melibatkan mangsa yang terdiri daripada 40 lelaki dewasa, 39 wanita, 27 kanak-kanak lelaki, 27 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.

Sementara itu, isterinya Nabilah Zakaria, 30, berkata mereka sekeluarga mendaftar masuk ke PPS itu pada 8 pagi selepas mendapat makluman menerusi pesanan teks daripada kenalan di kejiranan tersebut.

“Anak-anak saya masih kecil, jadi saya agak khuatir apabila kami sekeluarga tiada arah tuju untuk berlindung, khususnya bagi anak bongsu saya baru berusia empat bulan.

“Alhamdulilah, selepas mendapat makluman daripada kenalan, kami sekeluraga segera ke PPS ini dan bersyukur kerana proses pendaftaran cukup pantas kerana saya sudah bersedia dengan membawa semua dokumen penting bersama, sebelum keluar dari rumah semasa banjir," katanya.

Seorang lagi mangsa, Razman Zakaria, 52, berkata dia terpaksa bersengkang mata dari tengah malam sehingga subuh, untuk memerhatikan keadaan paras air yang agak membimbangkan.

Beliau yang lebih 40 tahun menetap di kawasan itu berkata kejadian awal pagi tadi itu tetap menggusarkannya, walaupun struktur asas kediamannya telah dinaikkan setinggi 2 kaki (0.6 meter) selepas pernah dilanda banjir buruk, empat tahun lepas.

“Saya memilih berlindung di rumah sahaja sambil berdoa agar hujan berhenti walaupun air di kawasan halaman rumah telah mencecah parah betis,” kataya ketika ditemui di Jalan Kenangan di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan