AM > BERITA

Persidangan Berkaitan ASEAN Dianjur Dengan Baik - Anwar

11/04/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini berjaya mengurus serta menyusun semua persidangan atau mesyuarat berkaitan yang diadakan setakat ini.

Perdana Menteri berkata dua mesyuarat terkini yang dianjurkan, berjaya menghasilkan pendekatan secara bersama dalam kalangan negara-negara ASEAN, termasuklah dalam menghadapi isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

“Kita ada dua sesi minggu ini, pertama dengan Menteri Perdagangan dan Pelaburan (ASEAN) yang memutuskan (untuk) bersama menghadapi tarif, Alhamdulillah nampak konsensusnya, kita tidak setuju dengan tarif yang dikenakan. Sekarang reda sekejap. Tetapi kita ambil pendekatan bersama.

“Kemudian, semalam dengan Menteri-Menteri Kewangan ASEAN, semua hadir dan memberi pandangan sama, ini satu kemajuan yang baik. Setakat kita menguruskan dua persidangan iaitu Menteri-Menteri Perdagangan dan Pelaburan serta Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN, nampak penyusunannya baik,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Syakirin di sini, hari ini.

Semalam, berakhir Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dalam usaha mengukuhkan integrasi dan kerjasama kewangan di rantau ini.

Mesyuarat itu membincangkan perkembangan ekonomi utama, mengkaji semula kemajuan kewangan dan kerjasama bank pusat, dan mengesahkan komitmen bersama negara anggota untuk memupuk masa depan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berharap Lawatan Negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada minggu hadapan, akan berjalan lancar dengan sambutan yang meriah.

Xi dijadual mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia selama tiga hari bermula 15 April, sebagai sebahagian daripada siri lawatan ke Asia Tenggara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan