KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pantai Irama, Bachok di Kelantan dan Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, Pulau Pinang bakal meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung sempena Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Acara di Kelantan, dijadual bermula 9 pagi hingga 2 petang, mengetengahkan pelbagai pengisian menarik termasuk sajian tradisional, persembahan kebudayaan serta sesi ramah mesra bersama pemimpin negara.
Antara juadah bakal disajikan dan membangkitkan selera pengunjung majlis itu termasuk Nasi Kak Wok, Nasi Tumpang, Kambing Golek, Satay, Lemang, Ketupat, ABC, kuih tradisional Kelantan dan pelbagai lagi hidangan ikonik Pantai Timur.
Bertemakan “Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara”, majlis itu akan diserikan dengan persembahan artis tempatan dan ikon dikir barat seperti Irfan Mutiara Biru, Adik Ryan dan Sirat Maharaja, dijangka menggamatkan suasana dengan alunan budaya warisan Kelantan.
Bagi keselesaan pengunjung, perkhidmatan van perantara percuma disediakan daripada dua lokasi utama iaitu Tapak Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan serta Perpustakaan Awam Kelantan Cawangan Bachok untuk ke tempat letak kereta KFC Bachok, yang hanya beberapa langkah daripada lokasi utama majlis.
Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dijangka turut menghadiri majlis berkenaan.
Sambutan di Pulau Pinang pula dijangka bermula pada 2.30 petang hingga 5 petang dan antara yang dijangka hadir termasuk Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Majlis anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia selaku kementerian peneraju.
Pelbagai juadah bakal disajikan kepada pengunjung seperti kambing golek, laksa Penang, mi kari, nasi impit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembor dan apam balik, serta beberapa hidangan istimewa yang menjadi tarikan rakyat Pulau Pinang.
Selain itu, majlis juga akan diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya legenda muzik rock Malaysia Datuk Hattan, penyanyi popular era 1990-an Aris Ariwatan dan penyanyi Black Hanifah.
Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI merupakan usaha penting dalam mengetengahkan agenda Malaysia MADANI yang berpaksikan nilai kesejahteraan, hormat dan ihsan.
Menurut Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, majlis tersebut bukan sekadar acara sambutan sahaja tetapi menjadi sebuah wadah yang menyatukan rakyat melalui nilai budaya, tradisi dan kemasyarakatan.
Penganjurannya juga diharap dapat memperkukuh semangat kekitaan dan membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kepimpinan negara dalam suasana yang penuh silaturahim serta muhibah.
Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 membuka tirai di Melaka pada 5 April, yang juga merupakan sambutan peringkat kebangsaan sebelum diteruskan ke Pahang hari ini, serta Kelantan dan Pulau Pinang esok.
Selepas itu, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 diteruskan di Sarawak pada 19 April dan Perak (25 April) sebelum menutup tirai di Perlis pada 27 April ini.
Sambutan peringkat negeri Selangor yang dijadual pada 6 April lepas dibatalkan bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terbabit dengan kebakaan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial