KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan bahawa pendidikan bukan sahaja membentuk keupayaan intelektual tetapi juga memupuk nilai-nilai teras seperti kebebasan, keamanan dan perpaduan.
Beliau berkata cabaran sebenar sistem pendidikan adalah untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan maklumat dan pengetahuan, di samping mampu membezakan antara yang betul dan salah.
“Apabila saya bercakap tentang pengetahuan, sama ada dalam bidang ekonomi atau politik, untuk semua bakal ahli sains politik di sini, dalam bidang teknologi atau sains, nilai asas seperti kebebasn, keadilan dan maruah insan mesti ada dan itu perlu berlandaskan kepada nilai-nilai murni,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada program "Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming" yang berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, di sini.
Program yang merupakan sesi dialog terbuka antara Perdana Menteri dan warga kampus itu dihadiri hampir 3,000 pelajar dan petugas UIAM.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Perdana Menteri turut menggesa universiti Islam untuk memainkan peranan utama dalam memupuk pemahaman yang tulen bukannya menyebarkan kebencian.
“Islam bukan sahaja tentang solat dan zakat tetapi juga untuk mempromosikan keamanan, keadilan dan pemahaman kemanusiaan. Bukan untuk menanam benih perpecahan dan perbezaan,” katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia adalah negara majoriti Muslim dan Islam agama Persekutuan, penting untuk mengakui dan menghormati kepelbagaian penduduk memandangkan lebih 40 peratus terdiri daripada bukan Islam.
“Mengapa kita ada Rahmatan lil Alamin (rahmat kepada seluruh ciptaan)?… (Bukan untuk) menyebarkan kebencian, perkauman, rasisme, fasisme dan perpecahan. Jadi anda mesti ingat, kita mungkin sebuah universiti Islam, tetapi di sini universiti Islam adalah untuk mempromosikan pemahaman sebenar tentang Islam.
“Bukan kebencian terhadap orang lain tetapi pemahaman, penghargaan sastera dan kemampuan untuk menghargai antara satu sama lain,” kata Anwar.
Anwar juga menyeru rakyat Malaysia untuk menggunakan media sosial dengan bertanggungjawab dan mengelakkan perkongsian kandungan yang mencemarkan nilai-nilai budaya negara, terutamanya melibatkan orang Melayu dan Islam.
“Anda mempunyai kebebasan menggunakan media sosial tetapi apa yang anda lakukan? Menyalahgunakannya, penuh dengan penipuan, penuh dengan kebencian, atas nama Islam dan Melayu. Saya seorang Melayu yang bangga dan saya amat menghargai warisan budaya kita,” kata Anwar.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada UIAM bagi tujuan penyelenggaraan tandas, makmal dan asrama pelajar.
Pada majlis berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM1.3 juta kepada Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF).
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden Centre of Islam in the Contemporary World, Shenanoah University Dr M Yaqub Mirza bagi pihak Sterling Management Group (SMG) kepada Osman selaku Pengerusi Tabung Endowmen UIAM (IEF).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial