SIBU, 10 April (Bernama) -- Peningkatan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM200 sebulan bermula bulan ini memberikan kelegaan besar bagi keluarga berpendapatan rendah di kawasan luar bandar Sarawak, khususnya dalam menangani tekanan kos sara hidup.
Penjawat awam, Austin Nuyang Joseph, 49, dari Skim Penempatan Semula Nanga Tada di Kanowit di sini, menyambut baik langkah kerajaan menaikkan kadar bantuan tersebut yang menurutnya amat membantu dalam menguruskan perbelanjaan keluarga.
“Anak perempuan tunggal saya masih menuntut di Institut Pendidikan Guru di Sabah, dan saya seorang sahaja yang bekerja manakala isteri suri rumah.
“Dengan peningkatan kadar SARA ini, saya dapat membeli barangan dapur manakala gaji bulanan saya gunakan untuk kirim belanja lebih sedikit kepada anak saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Austin yang turut menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM750 setahun berkata, bantuan itu amat berguna terutama ketika menghadapi perbelanjaan luar jangka.
“Saya simpan STR untuk kegunaan semasa kecemasan seperti ketika cuti semester anak. Selepas membeli tiket penerbangan biasanya bajet dapur agak ketat, jadi bantuan ini sangat membantu,” katanya.
Kerajaan MADANI sebelum ini mengumumkan peningkatan jumlah bantuan SARA kepada RM2,100 setahun bagi isi rumah miskin dan miskin tegar berdaftar dalam sistem eKasih, berbanding RM1,200 pada tahun lepas.
Peningkatan ini disifatkan sebagai langkah signifikan dalam membantu golongan sasar menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, penerima menerima RM100 sebulan secara terus ke dalam MyKad masing-masing dan bermula 1 April, kadar itu dinaikkan kepada RM200 sebulan sekali gus memperluas jumlah penerima kepada 5.4 juta orang.
Dalam pada itu, Fasa Kedua STR yang bermula 24 Mac lepas melibatkan 8.5 juta penerima mewakili kira-kira 60 peratus rakyat dewasa di Malaysia, dengan jumlah bantuan diterima mencecah hingga RM650.
Suri rumah Cheria Maran, 32, dari Sungai Mador di Bintangor turut menyatakan rasa syukur atas bantuan yang diterima, dengan keutamaan perbelanjaannya adalah keperluan dapur dan susu anak.
“Mungkin ada yang menganggap jumlah itu kecil tetapi bagi kami di luar bandar yang harga barang kadang-kadang lebih tinggi berbanding di bandar, bantuan ini sangat bermakna.
“Bila sebahagian bebanan dapat dikurangkan tekanan emosi dan mental juga berkurang. Ini aspek yang ramai tidak sedar,” katanya.
Tambahnya hampir kesemua kedai di pekan kecil seperti Bintangor dan Sarikei juga sudah berdaftar bagi membolehkan penerima membeli barangan menggunakan kad pengenalan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial