AM > BERITA

Festival Flora Borneo Di Labuan Pamer Lebih 200,000 Pelbagai Pokok Bunga

11/04/2025 01:23 PM

LABUAN, 11 April (Bernama) -- Festival Flora Borneo 2025 yang julung-julung kali bakal diadakan di Labuan pada 26 hingga 30 Julai ini akan menampilkan 20 taman pameran dengan lebih 200,000 pelbagai jenis tanaman dan pokok bunga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara dijangka menghadiri acara lima hari berkenaan, di samping usaha untuk menarik peserta dan pelancong dari Brunei ke festival berwarna-warni itu.

"Ia bukan sekadar keindahan bunga-bungaan, tetapi juga simbol kekayaan biodiversiti negara dan potensi peningkatan nilai tambah kepada industri hortikultur Malaysia," katanya pada prapelancaran festival itu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata acara ini juga akan menghimpunkan peminat bunga, usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang disokong oleh rakan strategik utama termasuk hotel, sektor pengangkutan laut dan darat, agensi kerajaan, masyarakat tempatan dan media.

Dr Zaliha berkata kerajaan komited terhadap pembangunan inklusif dan mampan di Labuan, justeru festival ini merupakan inisiatif penting di bawah Pasukan Petugas Pelancongan Labuan.

"Walaupun Labuan terkenal dengan pantai dan kawasan menyelam, lebih banyak program menarik, seperti Festival Flora Borneo ini diperlukan untuk meningkatkan tarikan pelancongan di pulau ini," katanya.

Beliau berkata pilihan lokasi festival, iaitu di taman rekreasi Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan turut membolehkan pengunjung bukan sahaja menghayati kecantikan pelbagai jenis bunga pada pameran itu, tetapi juga menikmati keindahan Pantai Mawilla yang terletak bersebelahan dengan tapak festival.

Dr Zaliha berkata Perbadanan Putrajaya yang berpengalaman luas dalam menganjurkan festival flora akan berkongsi kepakaran dalam memastikan kejayaan acara itu.

Selain itu katanya, Perbadanan Labuan akan bekerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk mempromosikan festival berkenaan kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan