LABUAN, 12 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia serta rakan strategik hari ini melancarkan program MCMC Microsoft AI TEACH bagi meningkatkan pembangunan kapasiti kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat Labuan.
Rakan strategik berkenaan terdiri daripada Perbadanan Labuan (LC), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Jabatan Pendidikan Labuan serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan program dua hari berkenaan dianjurkan di beberapa lokasi termasuk UMSKAL, Jabatan Pendidikan Labuan serta dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Sungai Labu dan Kampung Lubok Temiang.
“Program ini sejajar dengan aspirasi Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030 yang bertujuan meningkatkan celik digital serta memperkasakan komuniti setempat dengan teknologi AI,” menurut kenyataan itu.
Dianggarkan 200 peserta akan menerima manfaat daripada program itu, dengan menumpukan kepada peningkatan kemahiran AI, keterangkuman digital serta kebolehpasaran tenaga kerja dalam era ekonomi yang dipacu AI.
Peserta akan didedahkan dengan pengetahuan asas berkaitan AI, pertimbangan etika dalam penggunaan teknologi itu serta kemahiran praktikal seperti penulisan resume dan pembangunan portfolio digital.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong kebolehpasaran tenaga kerja, tetapi juga memastikan keterangkuman digital di Labuan.
“Dengan perkembangan pesat ekonomi berasaskan AI dan teknologi tinggi, program ini akan membantu mempercepat peralihan tenaga kerja ke arah masa depan digital yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif LC Mohd Sukuran Taib.
Turut hadir Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial