ARAU, 11 April (Bernama) -- Pengeluaran Harumanis Perlis pada musim ini dijangka mengalami sedikit penyusutan susulan cuaca tidak menentu selain faktor usia pokok dan serangan perosak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan negeri Razali Saad berkata setakat ini jangkaan pengeluaran mangga itu untuk tahun ini sebanyak 2,400 tan metrik iaitu sedikit menurun berbanding 2,497.58 tan metrik musim lepas.
"Keadaan cuaca panas yang sesuai pada awal tetapi hujan tidak menentu menjejaskan proses pembungaan dan pertumbuhan buah. Keadaan bunga luruh dan pokok yang semakin berusia menjadi antara faktor pengeluaran dijangka berkurangan," katanya kepada pemberita selepas lawatan di dua kebun Harumanis sekitar Arau petang semalam.
Razali berkata walaupun kuantiti mengalami penurunan, dari segi kualiti mangga pula kali ini dilihat lebih baik dengan pengeluaran banyak buah gred A yang lebih besar dan berkualiti.
"Kita berharap pengusaha dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan tidak menjual pada harga tinggi atau menipu dari segi kualiti buah. Harumanis perlu dijaga nama baiknya.
"FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sentiasa mengambil langkah serius untuk menangani isu ini (berkaitan harga dan kualiti) dan pembeli yang menjadi mangsa boleh terus hubungi pihak penguat kuasa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial