KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata antara daerah terlibat ialah Petaling dengan kedalaman air 0.61 meter di kebanyakan kawasan, termasuklah di Kampung Tengah, Puchong yang menyaksikan 20 rumah dinaiki air.
Beliau berkata kejadian melibatkan enam mangsa, namun keadaan air statik dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
“Di Kampung Seri Aman, Puchong pula, sebanyak 30 buah rumah dinaiki air juga melibatkan 120 orang mangsa, namun trend air dalam keadaan menurun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, 20 buah rumah terlibat dengan tiga mangsa dan air dilaporkan naik secara perlahan.
Di daerah Klang pula, Ahmad Mukhlis berkata kawasan terjejas ialah di Taman Sri Jaya yang menyebabkan 10 rumah dinaiki air dan lapan mangsa terjejas berjaya dibawa keluar, selain PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai.
Beliau berkata di daerah Hulu Langat, banjir dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang yang mengakibatkan 12 rumah dinaiki air dengan air kedalaman 1.12 meter dan 15 mangsa berjaya dibawa keluar serta trend air dalam keadaan menurun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim pihaknya telah menggerakkan pemantauan trafik di kawasan yang dinaiki air seperti Taman Sri Muda, Persiaran Budiman, Persiaran Jubli Perak, Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, Jalan Mat Raji serta Padang Jawa.
Pemantauan turut dilakukan di Jalan Mantap, Seksyen 25/129, Lebuhraya Persekutuan (KM15.3 Lorong Motorsikal) serta kawasan sekitar Seksyen 19.
Beliau berkata hasil pemantauan bermula 7 pagi mendapati banjir di Shah Alam serta kawasan terlibat adalah terkawal berikutan air mulai surut dengan keadaan lalu lintas kembali lancar selain hujan yang renyai.
“Bagaimanapun lorong motosikal di KM 15.3 (Lebuhraya Persekutuan) ditutup sepenuhnya buat ketika ini,” katanya.
Pemantauan dan perkembangan lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial