AM > BERITA

Orang Ramai Dijemput Hadir Sambutan Aidilfitri MADANI Di Pahang Malam Ini

11/04/2025 09:16 AM

KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Orang ramai khususnya rakyat negeri ini dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 yang akan berlangsung di Pantai Batu Hitam, Beserah, di sini malam ini.

Menjadi negeri kedua penganjurannya selepas Melaka, program yang dijadualkan pada 7 malam hingga 10.30 malam itu, akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis itu merupakan kerjasama Kerajaan Pahang selaku tuan rumah dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Berlatarkan keindahan pantai sebagai lokasi di Pahang, sambutan Aidilfitri MADANI di negeri Tok Gajah itu bukan sahaja menyerlahkan keunikan suasana, malah yang pastinya akan menjadi medan terbaik untuk merapatkan lagi hubungan antara rakyat dan pemimpin.

Ini juga sekali gus mencerminkan keterbukaan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri untuk mendengar sendiri suara rakyat dalam suasana penuh muhibah dan silaturahim, selain pada masa sama berkongsi kebahagiaan kepada golongan kurang bernasib baik untuk turut sama merasai kemeriahan perayaan.

Majlis yang dijangka menarik kedatangan 10,000 pengunjung dari Pahang dan negeri berhampiran, pada masa sama turut menjadi wadah untuk meraikan kemajmukan budaya Malaysia dalam memperkukuh lagi nilai keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.

Majlis sambutan Aidilfitri itu juga akan disajikan dengan pelbagai juadah yang sinonim dengan hari raya antaranya lemang, sate, nasi himpit, kuah kacang dan sebagainya, bakal memberikan kepuasan kepada pengunjung.

Sambutan turut diserikan dengan persembahan artis popular jemputan antaranya Hael Husaini, Datuk M. Nasir, Nadeera Zaini, Mawi, Daiyan Trisha, D’ Rural Band, CSE Buskers dan Kelab Kebudayaan Negeri Pahang. 

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 akan diteruskan di Kelantan dan Pulau Pinang pada 12 April, Sarawak (19 April), Perak (25 April) dan Perlis (27 April).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan