KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN harus bekerjasama dengan Myanmar melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu, dan menangani beberapa kebimbangan berlarutan yang telah diutarakan, semasa mematuhi parameter luas konsensus lima perkara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersyukur kerana kebanyakan negara ASEAN, dengan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan itu, telah bersama-sama menawarkan bantuan kepada Myanmar yang dilanda gempa bumi dahsyat baru-baru ini, yang menyaksikan angka kematian lebih 3,500 orang.
"Kita telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan Jeneral Kanan (Min Aung Hlaing) untuk berbincang mengenai usaha-usaha kemanusiaan," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di sini, hari ini.
"Saya juga telah memaklumkan kepada semua rakan setugas di ASEAN, bahawa kita harus menggunakan kesempatan ini untuk bekerjasama, sekurang-kurangnya bermula menerusi penglibatan kemanusiaan, dengan kedua-dua pihak bersetuju mengenai beberapa kebimbangan yang telah kita sampaikan berdasarkan kepada parameter luas konsensus lima perkara," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membangkitkan isu yang sama dalam perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh baru-baru ini.
“Selain itu kami melihat keadaan di Myanmar dan bersetuju bahawa ASEAN perlu bercakap serta berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai penyelesaian yang inklusif dan aman,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ini adalah kritikal dalam memastikan sebarang tindakan yang diambil selari dengan prinsip kemanusiaan dan matlamat kestabilan serantau yang lebih besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial