BUTTERWORTH, 10 April (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan koperasi di seluruh negara menceburi sektor agromakanan, pemborong dan peruncitan supaya menjadi penyumbang kepada pengeluaran hasil negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Amran Abd Kadir berkata secara langsung ia juga dapat membantu kerajaan, sekali gus menawarkan harga barangan yang murah dan munasabah terutama dalam sektor makanan.
“Sekarang SKM lebih memberi fokus kepada koperasi yang menawarkan agromakanan. Kita ikut dasar semasa kerajaan sebab kita nak koperasi bantu menawarkan dan mengeluarkan produk makanan supaya tidak perlu kebergantungan dengan pihak luar.
“Apabila koperasi sendiri mengeluarkan produk makanan, ia juga dapat menambah pendapatan ahli mereka. Pada masa sama, harga yang ditawarkan lebih murah atau munasabah kepada pengguna. Sebagai contoh, ada koperasi-koperasi kita terlibat dalam Jualan MADANI dan barangan murah 20 peratus berbanding biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi Pulau Pinang 2025 di Anjung Mutiara di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol.
Amran berkata SKM menyediakan pembiayaan bercagar sehingga RM3 juta kepada koperasi yang terlibat dalam program agromakanan, dan mereka perlu memanfaatkan kemudahan kredit itu untuk digunakan sebagai perbelanjaan modal kerja pembangunan projek agromakanan.
Beliau berkata koperasi yang menceburi projek agromakanan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada isu bekalan makanan kerana ketika ini terdapat 16,307 koperasi dengan 7.2 juta keahlian di seluruh negara.
“Jika banyak koperasi terlibat dalam bidang agromakanan, sudah tentu ia menjadi sebahagian daripada rantaian makanan berkaitan bekalan dan jaminan keselamatan makanan negara,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata sepanjang tahun lepas koperasi di Pulau Pinang menerima bantuan geran daripada SKM sebanyak RM860,000, manakala pinjaman RM3.37 juta.
Justeru, beliau berharap koperasi yang menerima lebih RM1 juta geran daripada SKM di negeri berkenaan tahun ini terlibat dalam agromakanan kerana isu sosioekonomi global, tarif dan sebagainya akan memberi kesan kepada bekalan makanan serantau.
Beliau memaklumkan terdapat 820 koperasi dengan 175,186 ahli dan syer serta yuran RM263 juta bersama aset RM1.1 bilion di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial