PADANG BESAR, 10 April (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan B40, malah berpotensi untuk melahirkan pekerja sektor pertanian yang berkemahiran dalam jangka masa panjang
Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, tiga peserta lelaki bagi Fasa 1 Projek IPR-INTAN NCER di Chuping dekat sini yang dikendalikan NCER berkata mereka juga berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Operasi Pengeluaran Tanaman.
Tiga peserta itu ialah Mohd Zulhilmi Azemi, 39, S.K Narendren, 21, serta S. Loganathan, 37. Mereka memulakan kerja sebagai operator ladang tanaman cili dan terung seluas 12.141 hektar bagi Fasa 1 itu pada November 2023 setelah berjaya melepasi sesi temu duga bersama IPR-INTAN NCER.
Ketiga-tiga mereka yang kini menjawat jawatan sebagai penyelia di ladang tanaman tersebut mengakui tidak mempunyai pengalaman dalam operasi ladang sebelum menyertai bidang pertanian.
“Sebelum bekerja di ladang ini, saya pernah menjadi penghantar makanan dan barangan dengan pendapatan yang tidak menentu. Saya memang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pertanian, tetapi saya mencuba untuk menyertai temu duga IPR-INTAN NCER dan akhirnya diterima bekerja di ladang tanaman ini,” kata Mohd Zulhilmi.
Narendren dan Loganathan, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang paip dengan gaji antara RM1,200 hingga RM1,600 sebulan, turut menyatakan kepuasan mereka bekerja di ladang kerana mendapat pendedahan langsung mengenai operasi ladang tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, malah mereka mendapat gaji tetap.
“Saya juga mempunyai sasaran dan impian untuk membuka ladang tanaman sendiri, dengan niat untuk menanam tembikai,” kata Narendren.
“Saya pula merancang untuk memiliki ladang sendiri dan menanam bendi serta cili,” kata Loganathan.
Mereka memainkan peranan penting dalam operasi ladang Fasa 1 itu, dengan Mohd Zulhilmi dan Narendren lebih fokus pada pengurusan rumah pam untuk siraman air dan baja serta penggunaan teknologi sistem fertigasi dan Internet of Things (IoT), manakala Loganathan memberi tumpuan pada kawalan perosak tanaman.
Ketiga-tiga lelaki tersebut berjaya memperoleh pendapatan bulanan yang mencecah RM2,800 sebulan, termasuk kerja lebih masa, dan mereka mengakui pendapatan itu telah memberikan perubahan positif dalam kehidupan mereka.
Pada 3 Feb lepas, Bernama melaporkan Penolong Pengurus Besar IPR-INTAN NCER, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Iskandar Zulkarnain Zainal Abidin berkata IPR-INTAN NCER di Perlis kini telah memasuki Fasa 3 selepas Fasa 2 bermula pada Januari 2024.
Iskandar Zulkarnain dipetik berkata Fasa 3 yang sedang dibangunkan akan menjadikan saiz ladang di Perlis meningkat kepada lebih 350 hektar dengan jangkaan 745 peserta terlibat.
Menurut satu kenyataan NCER kepada Bernama, syarikat peneraju yang menguruskan ladang tanaman bagi Fasa 1 itu, yang berpengalaman lebih 30 tahun, akan memastikan peserta berpeluang memperoleh SKM Tahap 3 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Pendaftaran untuk SKM Tahap 3 sedang dijalankan. Mereka akan mengikuti kursus selama 10 bulan dalam bidang Operasi Pengeluaran Tanaman. Mereka terus ke Tahap 3 kerana telah menguasai kemahiran asas semasa memulakan kerja sebagai operator ladang,” katanya.
NCER juga memaklumkan bahawa seramai 60 orang menerima manfaat daripada peluang pekerjaan dalam Fasa 1 IPR-INTAN NCER di Perlis, termasuk sebagai pekerja ladang, pemandu lori, kerani, pengurus, dan penyelia ladang.
“Pengalaman yang mereka peroleh boleh mendorong mereka menjadi usahawan tani dan berpeluang mengikuti program peningkatan kemahiran serta keusahawanan NCER yang lain bagi membimbing mereka ke arah keusahawanan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial