TAPAH, 10 April (Bernama) --Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat, selewat-lewatnya Ogos ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada sasaran KKM untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang pakar perubatan kecemasan ditempatkan di setiap hospital dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya, sehingga kini, KKM telah menempatkan pakar perubatan kecemasan di 15 buah hospital tanpa pakar dan hospital daerah, iaitu Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sik dan Hospital Yan di Kedah, manakala Hospital Sungai Bakap serta Hospital Balik Pulau di Pulau Pinang.
Selain itu, Hospital Kuala Kangsar di Perak; Hospital Sabak Bernam dan Hospital Kuala Kubu Baharu di Selangor; Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin di Melaka; Hospital Cameron Highlands di Pahang; Hospital Pasir Mas dan Hospital Pasir Puteh di Kelantan; serta Hospital Limbang di Sarawak.
“KKM juga telah memutuskan untuk menempatkan seorang pakar perubatan kecemasan di Hospital Tapah secara tetap bermula 1 Mei ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra YB Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly turut mengumumkan bahawa perkhidmatan kecemasan 24 jam di Klinik Kesihatan Tanjong Malim akan dibuka semula bermula 15 April ini.
Menurut beliau, pelaksanaan semula perkhidmatan itu akan menggunakan petugas sedia ada melalui sistem panggilan luar waktu bekerja secara aktif.
Katanya keputusan itu diambil selepas mengambil kira permintaan tinggi penduduk sekitar, memandangkan klinik itu kini hanya beroperasi sehingga pukul 5 petang.
Sebelum ini, pemberhentian operasi perkhidmatan kecemasan 24 jam di klinik berkenaan mencetuskan reaksi kurang menyenangkan daripada penduduk yang mahu ia dikembalikan kerana jarak Hospital Slim River yang agak jauh dari kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial