ALOR SETAR, 10 April (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memberi amaran kepada ahli-ahlinya agar tidak terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang boleh menyebabkan keahlian mereka dilucutkan.
Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari berkata jika itu berlaku, ahli terlibat akan dinafikan insentif yang disediakan kepada nelayan termasuklah subsidi minyak diesel.
Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun ini, sebanyak lapan nelayan telah dilucutkan keahlian NEKMAT dan walaupun jumlah itu tidak besar, namun pihaknya sentiasa memberi penekanan terhadap perkara berkenaan.
“Seandainya terlibat, bukan sahaja akan dilucutkan keahlian, malah akan menderita kerana tidak dapat ambil minyak subsidi untuk ke laut selain berdepan tindakan lain yang akan menjejaskan mereka sendiri.
“Kita sarankan nelayan seluruh negara berhati-hati dalam bab ini, janganlah ada nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah Ahmad Zulkifli Ismail.
Sementara itu, Ahmad Zulkifli berkata ahli-ahli NEKMAT diminta sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan pihak berkuasa bagi menghargai usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan nelayan.
“Bukan setakat minyak dan insentif tangkapan, malah pelbagai lagi bantuan turut diberikan kerajaan.
“Nelayan yang belum ada lesen pula, diminta segera daftar di Jabatan Perikanan kerana banyak kelebihan jika ada lesen. Lagi pun salah bila tak ada lesen, buatlah kerja ikut undang undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial