TAPAH, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM6,130,719 bagi pelaksanaan 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam bagi penduduk Tapah.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu meliputi kerja-kerja menaik taraf tandas awam, medan selera serta pemasangan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) di beberapa kawasan di lokasi terbabit.
“Antara projek berjumlah RM3.05 juta ialah pelaksanaan 16 projek menambah baik infrastruktur awam seperti medan selera, gerai dan tandas awam di bawah inisiatif Projek Pembangunan di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diselia Jabatan Kerajaan Tempatan.
“Sebanyak RM1.87 juta pula untuk pelaksanaan 10 projek kemajuan Kampung Baru Cina melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan, longkang dan dewan orang ramai di bawah seliaan Bahagian Kampung Baru Cina, KPKT,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Pasar Awam Tapah Road di sini hari ini.
Selain itu, Nga berkata sejumlah RM798,000 untuk projek naik taraf landskap Taman Malaysia Tapah dan pelaksanaan Kajian Pelan Induk Landskap, Majlis Daerah Tapah di bawah pemantauan Jabatan Landskap Negara.
“Sebanyak RM377,000 untuk kerja-kerja penggantian pagar, membaiki taman permainan dan kerja pendawaian semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan diselaraskan Jabatan Perumahan Negara di bawah inisiatif Program Penyenggaraan Perumahan (PPP), dan RM40,000 di bawah Program Baik Pulih Rumah, masing-masing bernilai RM20,000 untuk dua Ketua Isi Rumah di dalam Parlimen Tapah yang diselia Bahagian Kesejahteraan Komuniti, KPKT.
“Kerja penambahbaikan di Taman Malaysia Tapah yang melibatkan kos sebanyak RM499,900 daripada jumlah keseluruhan RM6.13 juta, sejajar dengan hasrat KPKT untuk membina 100 Taman Rekreasi MADANI (TRM) pada setiap tahun dalam tempoh lima tahun menjadikan jumlah keseluruhan 500 taman menjelang 2028,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata projek baik pulih dan naik taraf Dewan Muhibbah Bidor melibatkan kos RM849,970 dengan memfokuskan pembinaan laluan pejalan kaki yang berbumbung, membaik pulih lantai, mengecat bangunan, memasang skrin LED serta memasang pintu dewan.
“KPKT komited untuk terus bekerjasama dengan PBT di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan negara yang inklusif dan mampan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.
“KPKT komited untuk memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah dengan pertimbangan Return on Investment (ROI) yang tinggi dan berlandaskan prestasi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial