AM > BERITA

Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 Dijangka Siap Menjelang 2029 - Tun Musa

10/04/2025 05:09 PM

KOTA KINABALU, 10 April (Bernama) -- Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa I dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Musa berkata pelaksanaan pembinaan lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu akan disegerakan memandangkan pembangunan infrastruktur dan utiliti adalah pemboleh daya utama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata pengurusan dan perkhidmatan bekalan air juga akan diperkasakan bagi memastikan rakyat Sabah terus menikmati akses air terawat yang berterusan.

“Kerajaan optimis untuk memenuhi permintaan bekalan air bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Untuk itu, tiga strategi utama dilaksanakan iaitu meningkatkan pengeluaran air terawat, melaksanakan projek-projek bekalan air serta memperluas liputan bekalan air di luar bandar,” katanya di sini hari ini.

Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan juga akan membangunkan Skim Bekalan Air Ulu Padas yang diintegrasikan dengan Projek Hidroelektrik Upper Padas di Tenom untuk memenuhi keperluan jangka panjang, selain projek itu turut berpotensi menjadi sumber bekalan air jangka panjang bagi kawasan Pantai Barat Sabah.

“Bagi pengurusan air sisa kumbahan, kerajaan akan menambah baik infrastruktur sedia ada dan penyediaan perkhidmatan di kawasan yang belum diliputi. Selain itu, program pendidikan mengenai pemeliharaan sistem pembetungan juga akan dipergiat,” katanya.

Musa turut berkata pelbagai langkah mitigasi interim dan projek fast track telah diambil dalam usaha meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah, antaranya melibatkan naik taraf Pencawang Masuk Utama Jalan Dam di Lahad Datu dan pemasangan Capacitor Bank di Tawau yang dijangka siap tahun ini.

Dengan pelaksanaan langkah interim dan projek-projek fast track itu, jidar (margin) simpanan penjanaan negeri, yang sebelum ini kurang daripada 10 peratus, dijangka meningkat kepada 29 peratus tahun ini, katanya.

Beliau berkata kerajaan Sabah turut memberi tumpuan kepada projek-projek tenaga boleh baharu serta menyasarkan komposisi 50 peratus tenaga boleh baharu ke grid Sabah menjelang 2035.

“Dua projek hidroelektrik di Sungai Padas disasarkan siap sepenuhnya pada 2030,” katanya, menambah, melalui kajian Sabah Hydro Development Masterplan, kerajaan negeri telah mengenal pasti projek-projek hidroelektrik lain untuk dilaksanakan sehingga 2040.

Musa berkata kerajaan Sabah juga komited melaksanakan projek hidroelektrik, solar serta sumber tenaga boleh diperbaharui lain yang berpotensi seperti geoterma, tenaga angin, biotenaga dan Ocean Thermal Energy Conversion bagi mencapai agenda Peralihan Tenaga dan sasaran Neutral Karbon menjelang 2050. 

“Usaha ini selari dengan inisiatif Ekonomi Biru yang sedang diteroka negeri Sabah. Pengurusan penggunaan tenaga secara cekap turut diberikan perhatian dengan pelaksanaan inisiatif Sabah Energy Efficiency Action Plan yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan