AM > BERITA

KKM Lapor Polis, Nafi Dakwaan Kematian Dalam Kebakaran Putra Heights

10/04/2025 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) membuat laporan polis berhubung komen di media sosial yang mendakwa terdapat kematian dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Menurut kenyataan KKM hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara itu.

“KKM menegaskan tiada sebarang laporan berhubung kematian diterima daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkaitan kejadian tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu hingga menimbulkan kegusaran awam, mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Setakat pukul 12.30 tengah hari semalam, sebanyak 38 mangsa masih menerima rawatan, melibatkan 17 orang di hospital kerajaan dan 21 lagi di hospital swasta.

Daripada jumlah itu, seorang pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, namun dilaporkan semakin pulih.

Secara keseluruhan, seramai 150 mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan 127 daripadanya mengalami kecederaan langsung seperti luka melecur atau kecederaan fizikal lain.

Sementara itu, 18 mangsa mengalami kecederaan tidak langsung seperti serangan panik, kebimbangan dan tekanan darah tinggi, manakala lima lagi tidak memerlukan rawatan lanjut.

KKM memaklumkan fasiliti kesihatan akan memastikan mangsa terus mendapat sokongan diperlukan, terutamanya bagi luka kebakaran di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya.

“Ini termasuk perkhidmatan untuk kesihatan mental yang amat penting untuk membolehkan keluarga terkesan dapat meneruskan kehidupan seharian secara normal secepat mungkin,” menurut KKM.

KKM memaklumkan lapan petugas mereka terlibat dalam insiden itu, juga akan menerima sokongan penuh sehingga mampu kembali bertugas seperti sebelumnya.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan