AM > BERITA

KPWKM Teruskan Program Advokasi Kanak-kanak Di 300 Sekolah Tahun Ini

10/04/2025 01:50 PM

SEPANG, 10 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneruskan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu yang akan bermula pada bulan ini, dilaksanakan sebagai antara usaha memerangi kesalahan seksual dalam kalangan golongan bawah umur.

Beliau berkata kementerian juga akan mempromosikan Talian Kasih dan menggerakkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ke sekolah-sekolah terlibat sepanjang berlangsungnya program advokasi itu.

“Mereka (kanak-kanak) mempunyai kaunselor sendiri di sekolah, tetapi mereka tidak mahu bercakap, mungkin kerana malu. Jadi, semasa kita mengadakan program advokasi itu, kita ada pendekatan tertentu untuk mendekati mereka.

“Contohnya, kita minta mereka melukis dan daripada lukisan itu mereka terangkan apa maksud lukisan berkenaan. Dari situ kita dapat melihat apa yang terkandung dalam jiwa mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Raikan Keceriaan Keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Nancy berkata demikian sebagai mengulas laporan media berhubung peningkatan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan dengan 252 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 206 kes pada 2023.

Sementara itu, mengenai inisiatif Raikan Keceriaan Keluarga yang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Nancy berkata usaha itu wajar dipuji kerana ia menunjukkan syarikat korporat itu mengambil kira aspek kekeluargaan dalam pembangunan ekonomi mereka.

“Saya percaya, ruang awam seperti lapangan terbang harus dibangunkan dengan kepekaan yang tinggi terhadap keperluan kemudahan prasarana fizikal untuk semua golongan masyarakat terutama kanak-kanak, wanita, warga emas, keluarga, serta Orang Kurang Upaya,” katanya.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani dalam ucapannya berkata dua inisiatif baharu di KLIA Terminal 1, iaitu pakaian seragam baharu Duta CARE dan Orangutan Kids Zone, yang dilancarkan hari ini ialah sebahagian daripada usaha penambahbaikan KLIA untuk menjadi lebih mesra pengguna, selaras dengan perubahan dan peluang baharu dalam industri penerbangan.

“Pengenalan seragam baharu ini bukan sekadar perubahan reka bentuk, tetapi juga mencerminkan profesionalisme, keramahan, dan komitmen kami terhadap perkhidmatan yang cemerlang. Pakaian seragam ini direka khusus agar mereka selesa dan mudah dikenali semasa menjalankan tugas.

“Penyediaan Orangutan Kids Zone pula bertujuan menjadikan lapangan terbang lebih mesra keluarga. Ruang ini sesuai untuk anak-anak bermain sambil ibu bapa mereka dapat berehat buat seketika (sementara menunggu penerbangan),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan