KUANTAN, 10 April (Bernama) -- Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 diteruskan ke Pahang, destinasi kedua selepas Melaka, dengan penganjurannya dijadualkan berlangsung di Pantai Batu Hitam, Beserah, di sini esok.
Anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang selaku tuan rumah dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sambutan itu dijangka bermula pada 7 malam hingga 10.30 malam dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan "Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara", sambutan ini tidak sekadar mengangkat nilai ihsan dan semangat toleransi sebagai asas kesatuan dalam kepelbagaian, malah ia turut menjadi wadah meraikan kemajmukan budaya Malaysia dalam memperkukuh nilai keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Ia juga menjadi medan pertemuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan pemimpin sekali gus mencerminkan keterbukaan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri untuk mendengar sendiri suara rakyat dalam suasana yang penuh muhibah dan mengeratkan silaturahim.
Dijangka menarik kedatangan 10,000 pengunjung, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI ini akan disajikan dengan pelbagai juadah yang sinonim dengan hari raya antaranya lemang, sate, nasi himpit, kuah kacang dan sebagainya.
Selain itu, majlis juga akan diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya Hael Husaini, Datuk M. Nasir, Nadeera Zaini, Mawi, Daiyan Trisha, D’ Rural Band, CSE Buskers dan Kelab Kebudayaan Negeri Pahang.
Selepas Pahang, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 akan diadakan di Kelantan dan Pulau Pinang pada 12 April, Sarawak (19 April), Perak (25 April) dan Perlis (27 April).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial