PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara bagi memperkukuh kerjasama baharu dalam bidang pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye yang pertama berkaitan pendidikan tinggi dipengerusikan bersama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK) Profesor Erol Ozvar.
Beliau berkata mesyuarat itu berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul yang turut disertai barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Turkiye, termasuk beberapa naib canselor dan rektor universiti dari kedua-dua negara.
"Persetujuan untuk mengadakan mesyuarat ini secara tahunan, dengan penganjuran secara bergilir antara kedua-dua negara. Malaysia akan menjadi tuan rumah pada 2026," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zambry berkata mesyuarat jawatankuasa bersama itu mencapai kata sepakat untuk memperluaskan lagi ruang perbincangan dan kerjasama dalam aspek yang membawa manfaat besar kepada pembangunan pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Beliau berkata pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang telah dikenal pasti serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar dari kedua-dua negara turut dipersetujui.
Perkara lain yang dipersetujui termasuk perbincangan lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Turkiye serta pengenalpastian bidang tumpuan untuk kerjasama termasuk program akademik dan penyelidikan.
"Memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada bidang kemahiran utama yang menjadi keutamaan Malaysia dan Turkiye seperti bidang maritim, kejuruteraan dan teknologi," katanya.
Beliau berkata perkara lain yang dicapai adalah penyemakan semula memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaannya.
Zambry berkata sempena majlis itu juga, beliau bersama Profesor Erol turut menyaksikan tiga pemeteraian MoU dan Surat Hasrat (LoI) antara institusi Malaysia dan Turkiye iaitu antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universiti Ondokuz Mayis, Samsun dan Universiti Istanbul Gedik.
MoU lain termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe serta LoI antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan Universiti Karabuk dan Universiti Teknikal Istanbul.
"Penganjuran mesyuarat jawatankuasa bersama ini adalah satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam pendidikan tinggi.
"Kementerian yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama dan pembangunan bakat pada skala global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial