AM > BERITA

Panglima TLDM Sempurnakan Upacara Peletakan Lunas LMSB2 TLDM Di Turkiye 

09/04/2025 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain pada  semalam menyempurnakan upacara peletakan lunas projek kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard, Turkiye.

TLDM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan upacara peletakan lunas yang menjadi fasa penting dalam pembinaan struktur utama sesebuah kapal itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Upacara berkenaan diadakan sempena lawatan delegasi Kementerian Pertahanan ke Turkiye yang juga menjadi tradisi industri dalam pembinaan kapal, menandakan permulaan penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan.

"Ia juga melambangkan kesinambungan kepada majlis pemotongan keluli yang telah diadakan pada 4 Dis 2024 sekali gus menandakan peralihan daripada fasa pembinaan kepada fasa pemasangan struktur kapal," menurut TLDM.

Turut hadir pada majlis itu ialah delegasi Kementerian Pertahanan, wakil TLDM, Pasukan LMSB2 dan Timbalan Pengurus Besar Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) Bulent Soydal.

Menurut TLDM semasa lawatan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) turut diadakan pada 7 April yang dipengerusikan oleh Lokman Hakim bersama wakil syarikat, bertujuan memantau aspek pengurusan, pentadbiran, pelaksanaan kontrak dan kemajuan kerja pembinaan tiga LMSB2.

"Pihak syarikat telah membentangkan kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal yang terlibat dan  menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan," menurut hantaran itu. 

Berdasarkan kemajuan kerja semasa, kapal LMSB2 dijangka siap dan dilancarkan pada pertengahan 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung 2027.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan