KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa proses mahkamah berhubung semakan kehakiman terhadap kesahan perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) akan berjalan tanpa sebarang campur tangan atau prejudis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui jalur kehakiman.
“Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang. Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata struktur dan keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama oleh pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).
“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan,” katanya.
Anwar berkata walaupun kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, Kerajaan MADANI turut komited untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK selaras dengan semangat pembaharuan institusi.
“Ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Anwar berkata kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO, dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab serta menghormati semua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial