AM > BERITA

Kebakaran Putra Heights: KESUMA, MITI Kumpul Maklumat Syarikat, Pekerja Terjejas

09/04/2025 05:36 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk mendapatkan senarai lengkap kilang dan syarikat terjejas dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya daripada pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengumpulkan maklumat mengenai pekerja yang terjejas dalam kejadian tersebut dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat terlibat.

“Jadi dalam hal ini, pihak MITI dan juga KESUMA sedang berurusan terus dengan syarikat-syarikat berkaitan, dan kita akan teliti dan susuli dengan beberapa tindakan.

“Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan tentang isu bekalan gas yang dihadapi oleh sejumlah syarikat dan kilang yang terkesan akibat penutupan saluran gas tersebut, dan pada petang ini Suruhanjaya Tenaga akan mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung isu itu,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan bekalan gas tersebut dipulihkan.

“...tapi kita juga memahami bahawa proses siasatan masih berjalan dan tertakluk kepada beberapa aspek dalam proses siasatan tersebut,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata lima syarikat telco iaitu CelcomDigi, Maxis, TM Unifi, U Mobile dan YES akan menawarkan bantuan dan sokongan pemulihan kepada mangsa kebakaran Putra Heights, Subang Jaya, bagi tujuan meringankan beban kewangan mereka.

Fahmi berkata bantuan dan sokongan pemulihan yang diberikan meliputi pengecualian bayaran perkhidmatan (prabayar dan pascabayar) bagi tempoh tertentu, penggantian peralatan dan penukaran kad sim secara percuma kepada pelanggan terjejas serta perkhidmatan Wi-Fi 5G secara percuma di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Penawaran bantuan sokongan dan pemulihan telekomunikasi kepada pelanggan yang terjejas adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa dan berbeza mengikut syarikat telco, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

“Sumbangan ini membuktikan keprihatinan syarikat telco terhadap kesejahteraan pelanggan yang terkesan, selari dengan nilai ihsan dalam Kerajaan MADANI yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai bantuan berkenaan boleh diperolehi dengan mengunjungi kaunter bergerak syarikat telco yang dibuka di PPS, atau menghubungi talian utama (hotline) syarikat telco yang berkaitan, atau hadir ke mana-mana cawangan telco berdekatan.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan