KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha aktif Malaysia dalam menggalakkan kerjasama serantau bagi menangani isu tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, secara kolektif dan berprinsip.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berpeluang memanfaatkan platform Sidang Kemuncak ASEAN bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang dijadualkan pada akhir Mei ini. Ini dapat meletakkan asas bagi kerjasama ekonomi bersama blok ASEAN +3 (China, Jepun, dan Korea Selatan).
"Pertemuan antara China, Jepun, dan Korea Selatan di Kuala Lumpur adalah tanda kepercayaan besar terhadap peranan Malaysia sebagai platform dialog yang neutral dan strategik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, inisiatif ini membuka ruang kepada negara-negara ASEAN, dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU), serta negara-negara lain untuk menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang lebih adil dan seimbang.
Ahmad Fahmi turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyeru negara-negara ASEAN untuk bekerjasama lebih erat bagi menghadapi krisis ekonomi global yang berpunca daripada langkah tarif AS.
Beliau berkata tindakan menaikkan tarif oleh Amerika Syarikat bukan hanya bertujuan memperoleh keuntungan perdagangan, tetapi juga untuk mengukuhkan dominasi politik AS di peringkat antarabangsa, sekali gus memberi tekanan terhadap ekonomi negara-negara lain.
Justeru, beliau turut menggesa negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terutamanya negara-negara teluk untuk memanfaatkan momentum ini dan meletakkan asas kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama blok ASEAN+3.
"Dunia Islam perlu proaktif untuk memainkan peranan strategik dalam mencipta lapangan ekonomi global yang lebih saksama untuk semua," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial