SUBANG JAYA, 9 April (Bernama) -- Satu kajian pada 2007 menunjukkan bahawa kira-kira 47 peratus daripada lebih 1,000 rakyat Malaysia, tidur berdengkur.
Pakar Pernafasan dan Perubatan Tidur di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Megat Razeem Abdul Razak walaupun kebanyakan kes dengkur ini tidak dikaitkan dengan apnea tidur obstruktif (OSA), intervensi amat penting bagi mencegah komplikasi jangka panjang yang berkaitan dengan penyakit itu.
Beliau berkata kajian yang sama mendapati bahawa kira-kira lapan peratus daripada yang yang menjalani kajian tidur atau polysomnography untuk menentukan sama ada mereka menghidap OSA, didiagnosis dengan keadaan berkenaan, dan jumlah kaum lelaki didapati lebih tinggi sedikit berbanding wanita.
"Berdengkur boleh menjadi petanda kepada masalah OSA, keadaan yang menyaksikan saluran pernafasan tersumbat semasa tidur, menyebabkan pernafasahan terhenti. Ini berlaku apabila otot lidah dan tekak jatuh ke belakang, sekali gus menghalang saluran pernafasan akibat graviti.
"Keadaan ini biasa berlaku pada orang yang mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai tonsil yang besar, kerana ini boleh menyumbang kepada saluran pernafasan menjadi sempit," katanya kepada Bernama.
Dr Megat Razeem berkata walaupun berdengkur sering dianggap sebagai gangguan, ia juga boleh menjadi tanda amaran awal untuk keadaan masalah kesihatan yang lebih serius.
"Tidak semua orang yang berdengkur mempunyai OSA, tetapi kajian menunjukkan bahawa 80 hingga 90 peratus daripada mereka yang menghidap OSA, berdengkur," katanya.
Beliau berkata OSA yang dianggap sebagai gangguan pernafasan semasa tidur, boleh memberi kesan ketara kepada kesihatan keseluruhan jika tidak dirawat.
“Berdengkur, digabungkan dengan gejala seperti mengantuk pada waktu siang, kesukaran menumpukan perhatian, masalah ingatan, dan sakit kepala yang kerap apabila bangun, juga boleh jadi menunjukkan masalah OSA.
"Dalam kes yang melampau, OSA boleh membawa kepada akibat yang teruk, termasuk kemalangan seperti tertidur semasa memandu atau mengalami microsleep, serta penyakit jantung dan strok. Kekurangan oksigen semasa tidur memberi tekanan kepada jantung dan otak, meningkatkan risiko keadaan ini," katanya.
Bagi individu yang didiagnosis dengan OSA, rawatan yang paling biasa dan berkesan ialah terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (Continuous Positive Airway Pressure - CPAP), yang membantu mengekalkan paten saluran pernafasan semasa tidur.
"Cara terbaik untuk merawat OSA kekal dengan terapi CPAP. Ia memberikan tekanan udara untuk memastikan saluran udara tetap terbuka, yang membenarkan aliran udara normal. Tekanan boleh mencapai sehingga 10 atau 16 sentimeter air, yang bertindak dengan pensplinan bahagian atas saluran pernafasan bagi memudahkan pernafasan. Walaupun ia berkesan, terapi CPAP boleh jadi mahal, kerana ia memerlukan bukti daripada kajian tidur yang dijalankan di makmal atau di rumah, bagi menjustifikasi penggunaannya.
"Untuk kes ringan hingga sederhana, peranti Mandibular Advancement Devices (MADs) - pelindung mulut yang direka untuk menolak rahang ke hadapan sedikit - juga boleh berkesan," katanya sambil menambah bahawa CPAP kekal sebagai pilihan yang paling mudah diakses untuk kebanyakan pesakit.
Dr Megat Razeem berkata bahawa komplikasi jangka panjang yang dikaitkan dengan OSA termasuk kegagalan jantung, strok, dan kematian jantung mengejut.
"OSA sangat dikaitkan dengan hipertensi, dan terapi CPAP telah terbukti memulihkan tekanan darah dalam kalangan banyak pesakit," katanya.
Walaupun ia dikaitkan dengan risiko kesihatan yang serius, ramai yang masih tidak menyedari betapa pentingnya pemulihan OSA, sekali gus menekankan keperluan untuk kempen kesedaran awam.
"Meningkatkan kesedaran tentang bahaya masalah berdengkur yang tidak dirawat dan kepentingan mendapatkan nasihat perubatan adalah penting. Di Malaysia, penekanan yang lebih besar terhadap kesihatan tidur melalui kempen media dan akses yang lebih baik kepada kajian tidur boleh membantu mengurangkan beban OSA," katanya.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial