AM > BERITA

Kebakaran Saluran Gas: Usaha Stabilkan Tanah Dipergiat Pagi Ini

09/04/2025 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Usaha mengenal pasti punca kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya diteruskan hari ini dengan kerja-kerja menstabilkan tanah di lokasi utama kejadian melalui pemasangan pancang. 

Operasi yang bermula sejak petang semalam diteruskan sepanjang malam dan awal pagi tadi, serta dijangka selesai menjelang petang ini bagi mempercepatkan penyelesaian laporan siasatan kejadian tersebut.

Kebakaran dan letupan paip gas yang berlaku pada Selasa lepas telah menyebabkan perubahan landskap di lokasi utama kejadian, atau 'ground zero', dengan terbentuknya kawah sedalam lapan meter dan berkeluasan 70 x 80 meter.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pasukan penyiasat menambah dua jentera pengorek bagi mempercepat kerja menstabilkan tanah yang lembut di lokasi kejadian, selain turut menjalankan operasi itu tanpa henti selama 24 jam. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga komited dalam usaha mengenal pasti punca kejadian dengan mengkaji pelbagai faktor, termasuk sudut mekanikal, alam sekitar, operasi, dan keselamatan.

Hari ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shar dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kejadian itu di bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada 4.30 petang. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan sekitar Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya mendapati terdapat pergerakan keluar masuk kenderaan ke ‘groud zero’ terdiri daripada pasukan penyelamat dan penyiasat serta penduduk yang terkesan. 

Penduduk dibenarkan memasuki kawasan berkenaan untuk membawa kontraktor membaiki rumah atau mengeluarkan perabot serta barang lain yang masih boleh digunakan, namun mereka perlu mendapatkan pas kebenaran daripada pihak berkuasa.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan