ALOR SETAR, 9 April (Bernama) -- Terminal Bas Shahab Perdana di sini, yang telah dinaik taraf sejak Disember tahun lepas, dijangka kembali beroperasi pada 1 Mei setelah fasa pertama yang melibatkan Sistem Tiket Berpusat dapat beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang masalah.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata syarikat swasta yang membangunkan terminal itu kini sedang menyepadukan sistem pembelian tiket bas dalam talian dengan lebih 20 pengusaha bas yang telah beroperasi di terminal tersebut sejak sekian lama.
"Kita telah meminta syarikat tersebut untuk membentangkan beberapa perkara berkaitan, termasuk pelaksanaan sistem tiket itu pada hujung bulan ini. Pihak pengusaha bas juga telah diminta untuk menghantar borang permohonan sebelum 15 April ini bagi memastikan sistem itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Jika semua pihak terlibat, termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), berpuas hati dengan cadangan yang diusulkan, kita akan menetapkan tarikh pengoperasian. Namun, kita berharap terminal ini dapat beroperasi pada 1 Mei nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pengusaha bas Terminal Shahab Perdana di sini semalam.
Abdul Gafar berkata MBAS akan memastikan semua pengusaha bas dapat mengakses sistem tersebut tanpa sebarang masalah. Sementara itu, semua kaunter tiket bas di terminal itu akan terus beroperasi seperti biasa sehingga sistem pembelian tiket bas atas talian dapat digunakan sepenuhnya.
"Terminal dan tandas di situ juga akan dibuka sehingga 12 tengah malam. Kerja fizikal fasa pertama hampir 100 peratus siap, hanya menunggu pelaksanaan sistem tiket tersebut. Fasa kedua, yang dijadualkan pada tahun depan, akan melibatkan pembinaan lot perniagaan, hotel bajet, dan gerai makan," katanya.
Pada September tahun lepas, MBAS menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan sebuah syarikat kontraktor untuk menaik taraf dan mengurus Terminal Bas Shahab Perdana. Projek naik taraf yang melibatkan kos RM12 juta ini akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama melibatkan Sistem Tiket Berpusat dan Sistem Operasi Terminal, manakala fasa kedua melibatkan kerja perubahan infrastruktur seperti pengubahsuaian dan reka bentuk semula laluan bas, ruang niaga, tandas dan lain-lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial